Penolong pegawai perubatan maut motosikal rempuh kereta masuk simpang

29 Sep 2026 • 1:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penolong pegawai perubatan maut motosikal rempuh kereta masuk simpang
Kejadian berlaku di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam, Melaka pada Selasa.

MELAKA - Seorang penolong pegawai perubatan maut manakala empat lagi termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Kominisoner Halim Abas berkata, dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi itu, mangsa lelaki berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

"Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Sutera Wangi menghala ke Peringgit, manakala kereta yang dipandu wanita berusia 35 tahun bergerak dari arah Peringgit sebelum memasuki simpang ke Taman Ikhsan, Batu Berendam.

"Semasa kereta berkenaan masuk simpang, motosikal yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak dan membrek lalu merempuh bahagian sisi kiri kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Halim berkata, ketika kejadian pemandu kereta yang merupakan seorang suri rumah itu dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar anaknya ke sekolah.

Beliau berkata, selain pemandu, tiga kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 10 tahun yang merupakan penumpang kereta berkenaan turut cedera luka di kepala, manakala seorang daripada mereka luka di telinga.

"Keempat-empat mereka dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dan berada di Zon Hijau,” katanya.

Halim berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved