Penoreh getah cedera diserang gajah

LocalEnvironment
18 Sep 2026 • 12:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penoreh getah cedera diserang gajah
Keadaan kepala Shukri yang dijahit akibat cedera diserang gajah.
Image from: Penoreh getah cedera diserang gajah
Motosikal yang digunakan turut rosak dipijak gajah di laluan kebun getah.

JELI – Seorang penoreh getah cedera selepas diserang seekor gajah ketika dalam perjalanan menuju ke kebun di Kampung Lata Janggut, Batu Melintang di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Shukri Hassan, 67, berkata, dia menyedari kehadiran gajah berkenaan ketika tiba di jalan masuk ke kebun sebelum memberhentikan motosikal dan cuba berpatah balik.

“Ketika itu saya nampak gajah berada di hadapan, saya berhentikan motosikal untuk berpatah balik, tetapi tiba-tiba gajah itu datang dengan laju ke arah saya.

“Gajah itu kemudian menyondol saya sehingga terjatuh dari motosikal sebelum cuba menyerang saya sekali lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

**media[3651167]**

Menurutnya, dia ketika itu hanya mampu mempertahankan diri dengan menumbuk dan menghalang gajah berkenaan daripada terus menyerangnya.

“Selepas itu, gajah tersebut beredar dan masuk ke hutan berhampiran.

“Saya bersyukur kerana masih hidup,” katanya.

Shukri berkata, dia kemudian diselamatkan penduduk kampung sebelum dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan.

“Saya mengalami kecederaan di kepala dan menerima tiga jahitan, selain lebam di bahagian pipi kiri serta terseliuh pergelangan tangan kanan.

“Motosikal saya turut rosak pada bahagian pemegang, penutup badan, pemijak kaki dan lampu hadapan,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Long, Wan Azman Wan Musa berkata, kejadian berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana kemunculan gajah yang dipercayai lebih dari seekor itu turut menghampiri kawasan rumah penduduk.

Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk kampung ketakutan dan lebih berhati-hati terutama ketika keluar ke kebun pada waktu pagi selain sudah melaporkan perkata itu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Waktu malam, gajah ini keluar ke kawasan kebun yang dekat dengan rumah penduduk untuk mencari makanan.

“Dua hari lepas pun, seekor gajah dapat ditangkap, tapi gajah yang serang Shukri masih berkeliaran,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved