Penstrukturan semula KPF dijangka selesai hujung tahun - Ahmad Zahid

LocalBusiness & Finance
7 Jul 2026 • 6:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penstrukturan semula KPF dijangka selesai hujung tahun - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

MARAN – Penstrukturan semula Koperasi Permodalan Felda (KPF), termasuk penyelesaian isu penebusan saham dan bayaran tertunggak kepada pemiutang, dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu diambil bagi menangani masalah yang dihadapi ahli KPF, khususnya mereka yang membuat pinjaman atau menjual hartanah untuk membeli saham koperasi berkenaan.

"Kita mesti menangani permasalahan mereka yang membeli saham KPF yang terpaksa meminjam atau menjual hartanah mereka dengan satu jumlah yang agak besar bagi individu itu.

"Oleh sebab itu, pengstrukturan yang telah dikemukakan kepada saya akan dilakukan selewat-lewatnya pada akhir tahun ini. Insya-ALLAH boleh diselesaikan.

"Dan bayaran tertunggak juga untuk beberapa pemiutang akan diselesaikan dalam tempoh yang sama dengan pengstrukturan apa yang telah saya sebutkan tadi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Peneroka Felda dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid memaklumkan KPF memerlukan RM350 juta bagi membayar semula penebusan saham ahli yang mahu menebus pegangan masing-masing berikutan dividen rendah akibat keadaan pasaran saham dan hartanah.

Menurutnya, koperasi itu turut memerlukan kira-kira RM150 juta bagi menyelesaikan beberapa bayaran tertunggak, selain penstrukturan semula beberapa aset sedang dilaksanakan bagi memulihkan kedudukan kewangannya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Felda turut mencadangkan supaya ladang miliknya yang sebelum ini diserahkan kepada FGV diuruskan semula oleh Felda bagi mempercepatkan pemulihan kedudukan kewangan agensi berkenaan.

"Perkara ini sedang dalam rundingan..kalau pengstrukturan semula pengurusan ladang-ladang diuruskan oleh FELDA sendirim

" Maka ia akan mempercepatkan hutang-hutang itu untuk dilunaskan dan kita harap langkah-langkah ini akan dapat memberikan pulangan kepada peneroka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada penyelesaian isu tanah generasi kedua Felda dengan membolehkan pembinaan rumah di lot yang diwarisi daripada generasi pertama.

Menurutnya, Pahang dan Johor telah mengambil langkah memberikan hak milik serta kebenaran pembinaan rumah di lot berkenaan, selain menyelesaikan isu bekalan elektrik dan air.

"Saya harap negeri-negeri lain akan mengambil langkah yang sama bagi kepentingan generasi kedua dan generasi ketiga Felda," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved