Harga rumah jualan semula di Kuala Lumpur julung kali lepasi RM1 juta bagi suku pertama 2026 — IQI

22 Jun 2026 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga rumah jualan semula di Kuala Lumpur julung kali lepasi RM1 juta bagi suku pertama 2026 — IQI Image from: Harga rumah jualan semula di Kuala Lumpur julung kali lepasi RM1 juta bagi suku pertama 2026 — IQI amree22/06/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Jun — Isu kemampuan pemilikan rumah dijangka terus menjadi cabaran utama apabila harga purata kediaman jualan semula di Kuala Lumpur buat pertama kali melepasi paras RM1 juta.

 

Menurut Laporan Pasaran Kediaman Sekunder Suku Pertama 2026 oleh IQI, harga purata rumah jenis terpakai berkenaan di ibu negara didapati meningkat 15% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.02 juta.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI, Kashif Ansari berkata, perkembangan terbaharu itu turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai peneraju kenaikan harga rumah di negara ini.

 

"Secara keseluruhan, harga purata rumah yang dijual semula di Malaysia meningkat 4.8% YoY kepada RM545,059 pada suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu," jelas beliau dalam kenyataan.

 

Peningkatan harga kediaman berkenaan adalah hampir tiga kali lebih pantas berbanding pertumbuhan Indeks Harga Rumah keseluruhan yang dilaporkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

 

Tambah Ansari, data terkini firma global berkenaan menunjukkan segmen jualan semula merupakan yang paling aktif dengan permintaan dan keyakinan pembeli semakin kukuh pada suku pertama tahun ini.


 

IQI Kashif Ansari
KASHIF ANSARI

 

Ujarnya, meskipun harga naik, sebahagian besar transaksi masih melibatkan rumah mampu milik apabila hampir satu perempat daripada transaksi kediaman sekunder membabitkan harga RM250,000 ke bawah.

 

"Selain itu, tujuh daripada setiap 10 transaksi melibatkan harga kurang RM500,000 yang menunjukkan pembeli kali pertama serta pembeli dalam segmen pertengahan terus mendominasi pasaran," jelasnya.

 

Melaka jelas Ansari, turut mencatat pertumbuhan dua digit apabila harga purata rumah jualan semula meningkat 10% kepada RM358,964, manakala Selangor kekal stabil dengan harga purata RM559,935.

 

Sebaliknya, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan merekodkan penyusutan harga masing-masing sebanyak 2% dan 5%, sejajar dengan peralihan permintaan ke arah rumah pada paras harga lebih mampu milik.

 

Menurut kajian IQI tersebut kata beliau, Negeri Sembilan kini muncul sebagai pasaran paling mampu milik dalam kalangan lima negeri utama dengan harga purata rumah terpakai sebanyak RM340,207.

 

"Kedudukan ini menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi menarik untuk pembeli rumah pertama dan pelabur, khususnya bagi yang tidak lagi mampu membeli hartanah di Lembah Klang," tambah Ansari.

 

IQI menjangka pasaran hartanah mencatat momentum positif sepanjang baki 2026, disokong pertumbuhan ekonomi kukuh, pembangunan infrastruktur serta minat berterusan pembeli. - DagangNews.com

Terkini featured standard