
PUTRAJAYA- Status Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kekal mengukuh disifatkan memberi terjemahan kepada peningkatan ekonomi negara, sekali gus membolehkan Malaysia berada pada landasan tepat untuk menjadi negara maju.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pengukuhan ekonomi negara terus disokong dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memainkan peranan membawa Malaysia ke status negara maju.
Beliau berkata, tempoh pentadbiran Anwar sejak 2022 dilihat berjaya memacu jenama Malaysia ke peringkat lebih tinggi berdasarkan lima faktor.
“Antaranya ialah jumlah kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang bertambah dari tahun ke tahun yang mana pada 2025 melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion daripada RM46.7 bilion pada tahun sebelumnya.
“Kedua, ia boleh dilihat dengan kemasukan syarikat-syarikat besar seperti Google yang masuk untuk melabur ke Malaysia terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan juga teknologi hijau,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Suku Ketiga 2026, DOSM memaklumkan ini disokong oleh prestasi positif merentas kesemua sektor ekonomi, kecuali perlombongan dan pengkuarian yang merekodkan penguncupan.
Menurut Bashir, faktor ketiga ialah daripada segi kemampanan pelaburan domestik yang terus meningkat di mana Malaysia mencatat RM218.5 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding RM195.5 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Keempat, katanya, ia daripada segi bagaimana Perdana Menteri membuat lawatan hampir 60 buah negara dalam tempoh pemerintahannya untuk membuka ruang dan peluang bagi Malaysia berada di persada antarabangsa untuk dikenali sekali lagi.
“Kelima dalam tempoh pemerintahan lima tahun juga banyak masalah ekonomi dunia berlaku dengan perang, isu minyak, isu antara China dan Amerika Syarikat (AS), tetapi Malaysia dapat menangani masalah itu dengan baik dan secara diplomatik,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pentadbiran Anwar pacu status Malaysia peringkat tinggi appeared first on Kosmo Online.






