BNM semak Kerangka Kontrak Syariah, mahu kewangan Islam pacu impak ekonomi lebih besar

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BNM semak Kerangka Kontrak Syariah, mahu kewangan Islam pacu impak ekonomi lebih besar Image from: BNM semak Kerangka Kontrak Syariah, mahu kewangan Islam pacu impak ekonomi lebih besar amree20/10/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyemak Kerangka Kontrak Syariah bagi menggalakkan penggunaan lebih meluas dan berkesan, selaras dengan usaha memperkukuh peranan kewangan Islam dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

 

Gabenornya, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour ketika menyampaikan ucaptama khas pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-21 2026 berkata, bank pusat tersebut justeru bakal menerbitkan Kertas Strategi dan Draf Pendedahan berkaitan semakan berkenaan pada tahun ini.

 

Menurut beliau, kejayaan kewangan Islam tidak harus dinilai berdasarkan pertumbuhan aset, jumlah transaksi atau pematuhan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira sumbangan mewujudkan peluang ekonomi, memperkukuh daya tahan masyarakat dan meningkatkan penyertaan ekonomi secara bermakna.

 

"Perubahan keutamaan itu penting ketika ekonomi pada ketika ini berdepan dengan risiko perubahan iklim, perubahan demografi penduduk, keperluan pembangunan semakin meluas serta ketidaktentuan geopolitik yang mempengaruhi keperluan pembiayaan semasa," jelas beliau dalam ucapannya.

 

Abdul Rasheed menambah, dalam konteks Malaysia, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjana hampir 40% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta hampir 50% daripada jumlah guna tenaga pada 2025, namun sebahagian besar masih berdepan cabaran melangkaui akses pembiayaan.

 

Ujarnya, inisiatif kewangan sosial iTEKAD menunjukkan bagaimana pembiayaan, perlindungan, pembangunan keupayaan dan akses pasaran boleh digabungkan bagi membantu usahawan mikro membina perniagaan yang mampan, dengan menyokong hampir 16,000 peserta menerusi pelbagai program.

 

BNM_DagangNews2026
Gambar DagangNews / Mohd Naim Firdaus Aziz

 

Beliau turut berkongsi kisah Fauziah, seorang usahawan mikro dari Klang, Selangor mengembangkan perniagaan serunding halia tradisional untuk ibu selepas bersalin menerusi pembiayaan geran dan latihan keusahawanan iTEKAD, dan kini mengeksport produknya ke Britian menerusi platform halal.

 

"Dalam usaha memperkukuh kapasiti produktif negara, BNM turut memanfaatkan inisiatif i-CITA yang dilancarkan pada 2025 bagi memudah cara pembelajaran industri mengenai rumusan perkongsian risiko, khususnya bidang keselamatan makanan dan daya tahan iklim," kata Abdul Rasheed.

 

Tambah beliau, pendekatan itu dilihat boleh membantu usahawan PMKS memenuhi keperluan pembiayaan yang memerlukan sumber modal, struktur dan profil risiko berbeza. BNM juga menyediakan platform melalui Hab Inovasi Aset Digital yang dilancarkan pada Jun 2025.

 

Ini bagi membolehkan industri meneroka teknologi baharu dan kegunaan yang mempunyai nilai ekonomi sebenar. Selain itu, Pelan Induk Sektor Kewangan yang akan datang dijangka memberi penekanan lebih luas terhadap keutamaan sosioekonomi masa depan Malaysia.

 

Abdul Rasheed turut menggariskan tiga keutamaan bagi memperkukuh impak kewangan Islam, iaitu menyelaraskan strategi dan modal dengan tujuan ekonomi, menghasilkan inovasi berasaskan keperluan sebenar isi rumah serta perniagaan, dan memastikan nilai keadilan, integriti serta empati kekal menjadi asas keputusan perniagaan dan amalan pasaran.

 

"Kewangan Islam kini perlu bergerak melangkaui pertumbuhan skala dan kecanggihan industri kepada hasil yang lebih bermakna, termasuk ekonomi yang lebih produktif, komuniti yang berdaya tahan serta peluang ekonomi yang dapat dinikmati secara lebih meluas," tegasnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved