Pentamaster kekal prospek positif sehingga FY28, harga sasaran dinaikkan kepada RM5.04 berbanding RM3.76 - RHB Research

TechnologyBusiness & Finance
8 May 2026 • 10:26 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pentamaster kekal prospek positif sehingga FY28, harga sasaran dinaikkan kepada RM5.04 berbanding RM3.76 - RHB Research Image from: Pentamaster kekal prospek positif sehingga FY28, harga sasaran dinaikkan kepada RM5.04 berbanding RM3.76 - RHB Research hamden08/05/2026 - 10:26 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Mei - Prospek pertumbuhan Pentamaster Corporation Berhad terus kekal positif apabila firma penyelidikan menaikkan unjuran pendapatan syarikat bagi tahun kewangan 2027 hingga 2028 susulan jangkaan margin lebih tinggi dan pengurangan kerugian dalam segmen penjagaan kesihatan.

 

RHB Research menaikkan unjuran pendapatan FY27F dan FY28F Pentamaster, masing-masing sebanyak 7.5% dan 5.4%, didorong oleh pengeluaran besar-besaran peralatan pembungkusan termaju yang dijangka menyumbang kepada peningkatan margin keuntungan.

 

Selain itu, kerugian yang semakin mengecil dalam segmen penjagaan kesihatan turut dijangka menyokong prestasi keseluruhan kumpulan pada masa hadapan.

 

Sejajar semakan tersebut, harga sasaran saham Pentamaster dinaikkan kepada RM5.04 berbanding RM3.76 sebelum ini, berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27F sebanyak 36 kali.

 

Menurut firma itu, penilaian tersebut bersamaan +1.5 sisihan piawai di atas purata lima tahun syarikat, berbanding +2.5 sisihan piawai yang dicatatkan semasa kitaran peningkatan terdahulu.

 

“Kami percaya pendapatan syarikat masih mempunyai potensi kenaikan selanjutnya dalam kitaran semasa, dipacu permintaan lebih kukuh terhadap penyelesaian automasi dan teknologi pembungkusan termaju,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Harga sasaran baharu itu turut mengambil kira premium ESG sebanyak 2%, selaras skor ESG Pentamaster pada paras 3.1.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengingatkan beberapa risiko utama yang boleh mempengaruhi prestasi syarikat termasuk pengisian semula buku pesanan yang lebih perlahan daripada jangkaan, kelewatan projek serta pergerakan pertukaran asing yang tidak memihak.

 

Pentamaster mencatat keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 (FY26) yang menepati jangkaan pasaran apabila pendapatan meningkat 37.1% tahun ke tahun kepada RM180.4 juta.

 

Keuntungan bersih teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) syarikat turut meningkat kepada RM15.8 juta, mewakili masing-masing 20% dan 19% daripada unjuran penuh tahun oleh pihaknya serta konsensus pasaran.

 

Prestasi memberangsangkan itu disokong pertumbuhan ketara segmen penyelesaian automasi kilang (FAS) yang melonjak 155.8% tahun ke tahun, dipacu permintaan daripada pelanggan elektro-optik dan perubatan selain kesan asas rendah.

 

Bagaimanapun, margin EBITDA syarikat susut sebanyak 1.8 mata peratusan disebabkan campuran produk yang kurang menguntungkan, khususnya bagi pengendali ujian segmen semikonduktor yang mempunyai margin lebih rendah.

 

Selain itu, segmen penjagaan kesihatan turut mencatat kerugian sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM9.2 juta berbanding RM5.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus memberi tekanan kepada margin keseluruhan kumpulan.

 

Secara suku ke suku, PATAMI teras susut 26.8% berikutan keuntungan suku keempat FY25 sebelum ini disokong pendapatan tidak berulang sebanyak RM12 juta hasil caj pembatalan projek.

 

Tanpa mengambil kira faktor tersebut, keuntungan sebenar syarikat meningkat 21% berbanding suku sebelumnya.

 

Sementara itu, buku pesanan tertunggak Pentamaster kini merangkumi segmen perubatan (55%), pengguna dan perindustrian (24%), automotif (10.5%), elektro-optik (5.5%) serta semikonduktor (5%).

 

RHB Research berkata, pengurusan menjangkakan segmen FAS terus dipacu saluran projek lebih kukuh melibatkan pemasangan dan ujian telefon pintar, penyelesaian automasi bagi pelayan dan pusat data serta proses pemasangan perubatan.

 

Bagi segmen ATE pula, permintaan dijangka terus berkembang khususnya bagi penyelesaian burn-in wafer silikon karbida (SiC), penyelesaian ujian sensor pintar dan peralatan pengendali ujian, sejajar prospek positif industri semikonduktor terutama dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC).

 

Selain itu, pelan hala tuju baharu bagi penyelesaian ujian pembungkusan termaju di bawah inisiatif “9 Samurai” dijangka menjadi pemacu pertumbuhan seterusnya menjelang FY27. - DagangNews.com

Terkini standard