Ruang kenaikan saham Press Metal masih besar disokong peningkatan harga aluminium global - RHB Research

Business & Finance
5 May 2026 • 10:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ruang kenaikan saham Press Metal masih besar disokong peningkatan harga aluminium global - RHB Research Image from: Ruang kenaikan saham Press Metal masih besar disokong peningkatan harga aluminium global - RHB Research hamden05/05/2026 - 10:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Mei - Prospek Press Metal Aluminium Holdings Bhd kekal positif dengan potensi kenaikan lanjut harga saham meskipun prestasinya telah mencatatkan peningkatan kukuh sejak awal tahun, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, momentum tersebut disokong oleh defisit struktur dalam pasaran aluminium global yang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan syarikat bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027 (FY26-27F).

 

"Sehubungan itu, andaian harga aluminium di London Metal Exchange (LME) bagi tempoh berkenaan telah disemak naik kepada USD3,150 hingga USD3,250 setiap tan, berbanding USD2,850 hingga USD2,950 sebelum ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

RHB Research turut mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas Press Metal dengan harga sasaran (TP) baharu RM10.50 berbanding RM8.50 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 20% meskipun saham syarikat itu telah mencatat prestasi kukuh sejak awal tahun.

 

Bekalan terhad dorong harga melonjak

Menurut RHB Research, gangguan bekalan akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah telah memberi kesan ketara kepada rantaian bekalan aluminium global.

 

Langkah Emirates Global Aluminium menawarkan jualan kargo alumina bagi tempoh April hingga Jun dilihat sebagai petunjuk kepada penyusunan semula inventori serta kemungkinan tempoh henti operasi loji lebur yang berpanjangan.

 

Situasi ini dijangka terus mengehadkan bekalan aluminium, lebih-lebih lagi apabila Selat Hormuz yang menjadi laluan utama bagi lebih 20% import alumina global masih berdepan ketidaktentuan.

 

Malah, import alumina ke Timur Tengah dilaporkan merosot sebanyak 63% tahun ke tahun pada Mac, menandakan tekanan berterusan ke atas bekalan.

 

Kos pemulihan tinggi, ambil masa panjang

Dalam pada itu, usaha untuk memulihkan operasi loji pelebur yang terjejas dijangka memerlukan kos tinggi serta tempoh yang panjang.

 

Sebagai contoh, pemulihan penuh loji pelebur Venalum berkapasiti 460,000 tan setahun dianggarkan menelan kos antara AS$1 bilion hingga AS$1.5 bilion.

 

Sementara itu, loji pelebur San Ciprian pula mencatat kerugian sekitar AS$90 juta hingga AS$110 juta semasa fasa awal memulakan semula operasi, yang mengambil masa sehingga 17 bulan.

 

Ini menunjukkan kos pemulihan boleh mencecah antara AS$440 hingga AS$2,200 bagi setiap tan kapasiti.

 

Namun begitu, impak kos tersebut terhadap Press Metal dijangka terhad memandangkan kos pengangkutan hanya menyumbang kurang daripada 10% kepada struktur kos keseluruhan syarikat.

 

Unjuran pendapatan dinaikkan

Seiring dengan prospek harga yang lebih tinggi, anggaran pendapatan Press Metal bagi FY26 hingga FY28 telah disemak naik masing-masing sebanyak 8%, 10% dan 8%.

 

Harga sasaran baharu yang turut mengambil kira premium ESG sebanyak 8% itu mencerminkan penilaian sekitar dua sisihan piawai di atas purata sejarah syarikat, yang dianggap wajar dalam persekitaran harga aluminium yang tinggi.

 

Bagaimanapun, antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk kemungkinan kejatuhan mendadak harga aluminium, kelembapan ekonomi global serta peningkatan kos bahan mentah. - DagangNews.com

Terkini standard