
KUALA LUMPUR - Universiti Malaya (UM) hari ini memohon maaf susulan kontroversi pementasan teater oleh pasukan kolej yang didakwa mengandungi unsur tidak senonoh sehingga mencetuskan kegusaran awam selepas tular di media sosial.
Dalam kenyataan rasmi, UM memaklumkan pihaknya mengambil serius isu berkenaan selepas adegan dalam persembahan itu menerima pelbagai reaksi.
Menurut UM, setiap penyertaan di bawah Karnival Teater (KARVITER) tertakluk kepada garis panduan ketat, termasuk larangan terhadap sebarang unsur negatif, provokasi serta kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya dan reputasi institusi.
“Hasil penelitian mendapati adegan yang dipersembahkan tidak selaras dengan skrip asal yang telah diluluskan, sekali gus melanggar syarat pertandingan,” menurut kenyataan itu.
UM turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan program.
Sehubungan itu, persembahan berkenaan diputuskan tidak layak untuk dinilai, manakala tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperketat pemantauan pada masa akan datang.
Terdahulu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengecam keras pementasan tersebut yang didakwa memaparkan kandungan tidak senonoh.
Rakaman video menunjukkan dua pelakon melakonkan babak intim dalam persembahan itu sebelum ini tular di media sosial, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna. - Getaran, 16 April 2026





