Penugasan Shuhaily belum diputuskan, PDRM tunggu perkenan Agong

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 11:29 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penugasan Shuhaily belum diputuskan, PDRM tunggu perkenan Agong

SHAH ALAM, 30 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pemendekan tempoh pelantikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sebelum menentukan penugasan baharunya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata Mohd Shuhaily akan kembali berkhidmat dalam PDRM selepas urusan berkenaan selesai, lapor Berita Harian.

Menurutnya, pelantikan Mohd Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, justeru pemendekan tempoh perkhidmatan itu memerlukan perkenan Seri Paduka Baginda.

"Sehingga perkenan itu diberikan, saya masih menunggu dan tidak dapat memastikan penugasan seterusnya. Namun, beliau pasti akan kembali kepada PDRM kerana beliau pegawai polis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang anjuran Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam ini.

Mengulas status tugas Mohd Shuhaily ketika ini, Mohd Khalid berkata belum ada keputusan dimuktamadkan berhubung tindakan susulan terhadap pegawai kanan polis itu.

Katanya, penugasan seterusnya akan ditentukan selepas Mohd Shuhaily kembali ke PDRM dengan mengambil kira peraturan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily kepada PDRM selepas menamatkan penempatan secara pinjaman di AKPS.

Beliau berkata keputusan itu dibuat minggu lalu, manakala penugasan seterusnya diserahkan kepada PDRM untuk ditentukan.

Pada Rabu lalu, Mohd Khalid dilaporkan berkata kedudukan Mohd Shuhaily sedang diteliti dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum keputusan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu turut dirujuk kepada SPP bagi menentukan tindakan lanjut mengikut peraturan perkhidmatan.

Dalam kenyataan berasingan pada hari sama, KDN memaklumkan urusan perkhidmatan Mohd Shuhaily masih dalam proses dimuktamadkan bagi memastikan segala tindakan mematuhi peraturan dan tatacara berkuat kuasa.

Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.

Sebelum itu, beliau menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sejak Ogos 2023.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.

Kedua-dua pertuduhan itu membabitkan kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved