
KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Sembilan kini sedang giat berusaha mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bagi memuktamadkan tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang seterusnya.
Menteri Besar Datuk Ismail Lasim menegaskan perancangan asal untuk mengadakan sesi persidangan selama lima hari bermula 26 November ini masih kekal, namun sebarang keputusan muktamad terletak sepenuhnya di bawah perkenan baginda.
“Kita sedang berusaha (mendapatkan perkenan), tetapi perancangan seperti yang saya katakan sebelum ini (lima hari persidangan). Jadi kita tengok macam mana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpatih Fest 2026 bertemakan “Adat Dijaga, Warisan Terpelihara” di Seremban, hari ini.
Mengulas dakwaan beberapa pihak berhubung kemungkinan DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik sekiranya tiada persidangan dipanggil menjelang Februari tahun hadapan, Ismail menjelaskan bahawa isu tersebut perlu dirujuk dan diperhalusi mengikut kerangka undang-undang.
Beliau menegaskan sebarang implikasi perundangan perlu diteliti secara terperinci menerusi peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Mengikut jadual asal kerajaan negeri, persidangan DUN dirangka bermula 26 November, dengan tumpuan utama terarah kepada pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada 27 November. - 30 Oktober, 2026
The post Tunggu perkenan Tuanku Muhriz: Ismail kekal cadangan sidang DUN lima hari mulai 26 Nov appeared first on Scoop.






