UMNO mendakwa tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menyebarkan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu bentuk penghinaan dan hasutan yang disengajakan.
Kesal tindakan Tony Pua
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memandang serius serta amat kesal dengan tindakan Tony Pua memuat naik dokumen berkenaan menerusi akaun Facebook miliknya.
Penyebaran dokumen buka ruang perdebatan
Menurut beliau, penyebaran dokumen tersebut didakwa bertujuan membuka ruang perdebatan dan polemik politik sehingga boleh mempersoalkan serta memperlekehkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa kuasa pengampunan, pengurangan dan pelepasan hukuman merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, beliau berpandangan segala dokumen dan urusan berkaitan prosiding Lembaga Pengampunan perlu dikendalikan dengan penuh berhati-hati serta menghormati kedudukan institusi diraja.
“Persoalan utama yang perlu dijawab ialah adakah penyahklasifikasian dan pendedahan minit mesyuarat tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sebarang proses penyahklasifikasian dokumen yang melibatkan prosiding Lembaga Pengampunan sewajarnya terlebih dahulu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Walaupun terdapat proses penyahklasifikasian dokumen, UMNO berpandangan bahawa perkara yang menyentuh secara langsung prosiding Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda sewajarnya terlebih dahulu dirujuk kepada Baginda bagi mendapatkan perkenan,” ujarnya.
Guna isu pengampunan diraja sebagai bahan pertikaian politik
Asyraf Wajdi turut mendakwa Tony Pua terus mempergunakan isu pengampunan diraja sebagai bahan pertikaian politik tanpa menghormati kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.
Sehubungan itu, UMNO mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera mengenai proses penyahklasifikasian minit mesyuarat tersebut, termasuk asas perundangan, pihak yang meluluskan pendedahan dokumen serta sama ada perkenan Yang di-Pertuan Agong telah diperoleh.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan tegas mestilah segera diambil bagi mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya.







