
KUALA LUMPUR: Penulis blog, Jufazli Shi Ahmad kekal lepas bebas daripada dua pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO serta tidak memberikan kata laluan akaun aplikasi berkenaan kepada pegawai polis, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan.
Pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini bertarikh 18 Oktober 2024 yang melepas dan membebaskan Jufazli, 37, tanpa memanggilnya untuk membela diri terhadap pertuduhan itu.
“Setelah membaca rekod rayuan, alasan penghakiman hakim Mahkamah Sesyen serta hujahan kedua-dua pihak, mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan perayu,” kata Hakim Aslam.
Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry bagi pihak pendakwaan manakala Jufazli diwakili peguam bela, Ramesh N.P. Chandran.
Sebelum ini, Jufazli didakwa atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dalam bentuk video dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di aplikasi YouTube King Maker Politik pada 3 petang, 27 Jun 2022.
Pautan video jelik itu dilihat pada 3 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 1 Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Jufazli juga didakwa atas tuduhan gagal memberikan kata laluan akaun YouTube King Maker Politik yang disimpan dalam telefon bimbitnya kepada pegawai polis di IPD Dang Wangi pada 12.10 tengah hari, 5 Julai tahun sama.
Pertuduhan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 249 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN
The post Penulis blog kekal lepas bebas buat hantaran jelik appeared first on Utusan Malaysia.



