
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini kekal melepas dan membebasan penulis blog, Jufazli Shi Ahmad atas dua pertuduhan dibawah Akta Komunikasi, empat tahun lalu.
Dua pertuduhan itu ialah hantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO melalui YouTube dan gagal memberikan kata laluan akaun aplikasi itu kepada pegawai polis.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 18 Oktober 2024 yang melepas dan membebaskan Jufazli, 37.
“Setelah membaca rekod rayuan kes ini, alasan penghakiman Mahkamah Sesyen dan hujahan semua pihak, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan terdahulu,” katanya.
Pihak pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry sementara peguam, Ramesh NP Chandran mewakili Jufazli sebagai responden.
Pada 7 Julai 2022, Jufazli mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan pertama, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi dalam bentuk video yang jelik sifatnya, dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Perbuatan dibuat melalui aplikasi YouTube King Maker Politik pada pukul 3 petang, 27 Jun 2022.
Pautan video berkenaan kemudian dilihat pada jam 3 petang di pejabat bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 1 Julai tahun sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ia termasuk denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, beliau gagal memberi capaian kepada data berkomputer yang disimpan dalam telefon bimbitnya iaitu tidak memberi kata laluan laman profil aplikasi sama, yang diminta pegawai polis, jam 12.10 tengah hari pada 5 Julai 2022.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 249 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 18 Oktober 2024, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Jufazli daripada kedua-dua pertuduhan berkenaan pada akhir kes pendakwaan. – KOSMO! ONLINE
The post Jufazli kekal bebas pertuduhan komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri, UMNO appeared first on Kosmo Digital.






