Seorang penumpang telah ditahan oleh polis selepas membuka pintu kecemasan pesawat Jetstar dan melompat keluar sebaik sahaja pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Melbourne pada jam 10 pagi, Khamis, 22 Ogos 2024.
Kejadian yang mengejutkan ini berlaku pada penerbangan JQ507 yang berlepas dari Sydney.
Menurut saksi, Audrey Varghese, penumpang tersebut menunjukkan tingkah laku yang aneh dan agresif sebelum membuka pintu kecemasan.
“Hati saya terus berdebar-debar apabila melihat dia bertindak sedemikian. Dia menolak orang lain dan menimbulkan kekecohan, serta terus membuka pintu kecemasan sebelum keluar dengan menggunakan gelongsor kecemasan,” kata Varghese.
Para penumpang lain di dalam pesawat turut terkejut dan ketakutan dengan kejadian itu, sehingga ada yang menjerit dan menangis.
Sebelum kejadian, beberapa kru penerbangan cuba menenangkan dan meminta lelaki itu kembali duduk di tempatnya. Namun, arahan itu tidak diendahkan. Keadaan menjadi semakin tegang apabila para penumpang lain menjerit meminta dia akur dengan arahan tersebut, tetapi gagal.
Lelaki tersebut kemudian bangun dan membuka pintu kecemasan sebelum keluar menggunakan gelongsor yang telah diaktifkan.
Polis Persekutuan Australia (AFP) segera menahan lelaki tersebut atas tuduhan berkelakuan agresif dan melanggar protokol keselamatan pesawat.
Suspek yang dipercayai menghidap penyakit mental telah dibawa ke hospital untuk penilaian lanjut dan dijangka berdepan dengan tindakan undang-undang..
Jurucakap Jetstar mengesahkan pesawat miliknya, JQ507, ketika itu sedang diparkir di pintu gerbang semasa kejadian tersebut berlaku.
“Kami boleh mengesahkan, ada seorang penumpang telah membuka pintu kecemasan selepas tiba di Melbourne, yang secara automatik mengaktifkan gelongsor kecemasan,” katanya. – Agensi
The post Penumpang buka pintu kecemasan, tak sabar keluar dari pesawat yang baru mendarat di Melbourne appeared first on The Reporter.




