Penumpang kelas perniagaan Batik Air boleh nikmati layanan VIP kereta elektrik premium

LocalCars
14 Apr 2025 • 1:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penumpang kelas perniagaan Batik Air boleh nikmati layanan VIP kereta elektrik premium

image is not available

14/04/2025 - 13:59

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 April - Batik Air membawa satu lagi pembaharuan eksklusif dengan memperkenalkan semula perkhidmatan pemindahan peribadi (Private Terminal Transfer) untuk penumpang kelas perniagaan, kali ini dengan sentuhan moden dari Leapmotor C10, sebuah SUV elektrik penuh gaya.

Apa yang menarik, Batik Air bekerjasama dengan Leapmotor Malaysia, jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama yang diperkenalkan oleh Stellantis Malaysia, iaitu nama besar dalam dunia automotif global.

Penumpang akan dibawa dari bangunan terminal utama ke Bangunan Satelit KLIA Terminal 1, menggunakan Leapmotor C10, kenderaan elektrik segmen D yang mampu bergerak sejauh 424 kilometer tanpa pelepasan karbon.

image is not available

Dianugerahkan French Design Award 2024 dan US MUSE Design Award 2024, C10 direka dengan fokus kepada ruang dan fleksibiliti.

Bahagian dalamannya menampilkan tempat duduk ergonomik 3D dengan fabrik bio-berasaskan piawaian OEKO-Tex Standard 100, yang menjanjikan keselesaaan.

Reka bentuk dalamannya moden dan selesa dengan ruang kaki serta kepala yang luas.

Leapmotor C10 turut menawarkan ruang bagasi bermula 415 liter sehingga 1,410 liter.

Buat masa ini, sebanyak lima unit Leapmotor C10 disediakan khas untuk perkhidmatan tersebut, maka penumpang tidak perlu menunggu lama.

Perkhidmatan berkenaan juga membantu menggantikan sementara aerotrain KLIA yang sedang dalam penyelenggaraan dan melengkapkan perkhidmatan bas sedia ada oleh MAHB.

Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, Leapmotor C10 mengubah definisi perjalanan premium dengan gabungan keselesaan dan moden.

"Sebagai antara peneraju rumusan pengangkutan global, kami komited terhadap inovasi dan kelestarian.

image is not available

"C10 melambangkan masa depan pengangkutan bertanggungjawab yang juga menawarkan pengalaman premium dari jalan raya hingga ke pintu pesawat," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, kerjasama tersebut memberi nilai tambah kepada pengalaman penumpang.

"Perjalanan sepatutnya lancar dan bagi kami di Batik Air, penumpang kelas perniagaan layak menerima layanan terbaik.

"Perkhidmatan ini bukan sekadar pemindahan antara terminal, tetapi simbol layanan mesra, inovatif dan eksklusif sejak mereka tiba di lapangan terbang," ujarnya. - DagangNews.com

standard