Penumpang KLIA – Jakarta diminta hubungi syarikat penerbangan

6 Sep 2026 • 1:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penumpang KLIA – Jakarta diminta hubungi syarikat penerbangan

PUTRAJAYA – Penumpang yang dijadualkan menaiki penerbangan ke Jakarta, Indonesia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan.

Ia susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta akibat abu gunung berapi Anak Krakatau.

KLIA dalam nasihat perjalanan memaklumkan, penutupan lapangan terbang berkenaan berpunca daripada abu gunung berapi, selain menyediakan kawasan rehat kepada penumpang yang terjejas sementara menunggu perkembangan lanjut berhubung penerbangan mereka.

“Di Terminal 1, kawasan rehat yang disediakan adalah di Anjung Tinjau, Aras 5 Bangunan Terminal Utama; Kawasan CRS, Aras 3 Bangunan Terminal Utama serta Pintu C36, Aras Mezanin Bangunan Satelit.

“Bagi Terminal 2 pula, kawasan rehat terletak di Aras 3A Tingkat Mezanin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera terus meletus semalam, dengan pihak berkuasa melaporkan aktiviti pancutan lava serta bunyi dentuman dan gemuruh yang kedengaran dari pos pemerhatian.

Letusan itu bermula pada 11.07 malam waktu tempatan pada Jumaat dan berterusan sepanjang pemerhatian dari tengah malam hingga 6 pagi Sabtu.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia memaklumkan gunung berapi itu kekal pada Tahap III atau Siaga (Amaran), dengan zon larangan dalam radius tiga kilometer dari kawah aktif.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan struktur Anak Krakatau yang terbentuk semula ketika ini adalah relatif kecil dan tidak dianggap berupaya runtuh pada skala yang boleh mencetuskan tsunami. – KOSMO! ONLINE

The post Penumpang KLIA – Jakarta diminta hubungi syarikat penerbangan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved