MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menasihati golongan anak muda yang meminati sukan permotoran supaya menghormati undang-undang dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan platform dan gelanggang sesuai bagi memastikan minat serta tenaga anak muda dapat disalurkan menerusi aktiviti yang sihat, positif dan terkawal.
“Sebab itulah apabila kita tahu dunia permotoran cukup dekat dengan jiwa anak muda, kita tidak memilih untuk menjauhkan diri daripada mereka dan daripada minat mereka.
“Kita pilih untuk menyediakan gelanggang yang betul untuk mereka dan menghimpunkan komuniti permotoran supaya minat dan tenaga anak muda dapat disalurkan melalui aktiviti yang sihat, positif dan terkawal,” katanya berucap pada Majlis Penutup Konvoi Bermotor Karnival Anak Muda di MITC di sini pada Ahad.
Perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ab Rauf berkata, anak muda masih boleh meminati motosikal, berkonvoi dan berkumpul, namun perkara paling penting adalah memastikan semua aktiviti dilakukan dengan mematuhi undang-undang.
“Himpunan ini kita adakan untuk mengeratkan persahabatan dan membina kebersamaan, bukan menjadi lesen untuk kita melanggar undang-undang.
“Selepas selesai program nanti, saya mahu semua yang pulang selamat di pangkuan keluarga masing-masing. Ingat, jalan raya bukan litar untuk berlumba.
“Hebat di jalan raya bukan siapa yang paling laju, tetapi siapa yang paling bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, penganjuran Karnival Anak Muda bukan sekadar untuk hiburan, sebaliknya menjadi platform golongan muda mendapatkan peluang pekerjaan, membina jaringan perniagaan dan menimba ilmu baharu.
Katanya, golongan muda merupakan aset penting yang akan menentukan hala tuju serta masa depan Melaka dalam tempoh 10, 20 atau 30 tahun akan datang.
“Untuk makluman, hari ini Melaka mempunyai kekuatan hampir 100,000 anak muda yang menjadi aset penting sebagai nadi kepada pembangunan dan kemajuan negeri.
“Hari ini mungkin masih belajar, ada yang memasuki alam pekerjaan, ada yang baru memulakan perniagaan dan ada yang mencari ruang untuk mengembangkan bakat, selain mencari rezeki sebagai penghantar p-hailing.
“Tetapi dalam beberapa tahun lagi, merekalah yang akan menjadi jurutera, guru, usahawan, arkitek, peguam, pemimpin industri dan pemimpin masyarakat,” katanya.
Ab Rauf berkata, atas kesedaran itu, Karnival Anak Muda Negeri Melaka dianjurkan dengan merangkumi pelbagai bidang termasuk makanan, town hall, permotoran, sukan, kerjaya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi serta keusahawanan.
“Kita mahu apabila anak muda datang ke sini, mereka menemukan peluang. Kalau nak cari pekerjaan, kita boleh cari di sini. Kalau nak tahu tentang TVET, di sini pun ada.
“Kalau minat tentang teknologi AI, sila masuk ke ruang-ruang pameran yang telah kita sediakan. Kalau minat sukan atau mahukan cabaran, silalah sertai agenda-agenda sukan yang telah kita aturkan.
“Dan kalau mahu menyuarakan pandangan kepada kerajaan, kita juga sediakan pentas untuk menyuarakan suara dan pendapat anda,” katanya.





