
PETALING JAYA – Lebih 15 minit menunggu dalam keadaan tren tidak bergerak di dalam terowong antara stesen Damai dan Ampang Park menjadi luahan pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pagi ini.
Menerusi hantaran di Threads, pengguna dikenali sebagai @adly_syam mendakwa tren yang dinaikinya tidak bergerak selepas berada di dalam terowong berkenaan.
“15 September 2026, pukul 9.44 pagi, dia kalau tak kena hari lain, kena hari ini. Dah 15 minit tren tak gerak dalam tunnel (terowong) antara Damai dengan Ampang Park,” katanya.
Seorang lagi pengguna @ad1man mendakwa gangguan perkhidmatan LRT berkenaan sudah berlaku beberapa kali sepanjang minggu ini.
“Minggu ini je dah berapa kali, tapi kali ini paling teruk. Berhenti di tengah-tengah laluan yang tidak tahu, pintu dibuka disebelah yang salah dan terus (tren) jadi out of service (tidak dapat digunakan),” katanya.
Sementara itu, pengguna @amzarsukri02 mendakwa tren LRT Laluan Kelana Jaya menghala ke Putra Heights turut berhenti lama di sekitar stesen Jelatek.
Menurutnya, penumpang kemudiannya diarahkan turun sebelum tren berpatah balik ke arah Gombak.
“LRT Kelana Jaya line (menghala Putra Heights) tiba-tiba berhenti lama dekat Jelatek, kemudian semua kena turun sebab tren berpatah balik ke Gombak,” katanya.
Gangguan berkenaan dipercayai menjejaskan perjalanan pengguna yang menggunakan Laluan Kelana Jaya untuk ke destinasi masing-masing pagi ini.
“Mula-mula enam minit, tiba-tiba waktu menunggu tren seterusnya 16 minit. Memang lewat la pagi ini ke pejabat,” kata @Hairuzzl21. – KOSMO! ONLINE
The post Penumpang LRT ‘terperangkap’ dalam terowong antara Damai-Ampang Park appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Tengah azan subuh, masih buat projek curi kabel](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-15-at-12.06.05-PM-1024x768.jpeg)

