Penumpang Terjatuh Di Landasan, Lrt Laluan Kelana Jaya Tergendala Sementara

3 Apr 2026 • 11:53 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan sementara petang tadi selepas seorang penumpang dilaporkan terjatuh di landasan di Stesen Abdullah Hukum.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu berlaku sekitar jam 6.09 petang.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, bekalan kuasa di stesen berkenaan telah dinyahaktifkan bagi memberi laluan kepada pasukan penyelamat termasuk polis, bomba dan ambulans menjalankan operasi di lokasi.

Perkhidmatan Tergendala, Bas Perantara Diaktifkan

Susulan kejadian itu, perkhidmatan tren di antara Stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum dihentikan buat sementara waktu.

Rapid Rail memaklumkan, perkhidmatan alternatif termasuk bas perantara percuma telah diaktifkan bagi membantu pergerakan penumpang yang terjejas.

“Pengguna yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada Pegawai Stesen dan Polis Bantuan di stesen terlibat,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, pihak Rapid Rail juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

Mangsa Cedera, Dihantar Ke Hospital

Dalam perkembangan sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mengesahkan mangsa merupakan seorang wanita berusia 39 tahun.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan muka.

“Wanita tersebut berjaya dikeluarkan pada jam 6.38 petang sebelum diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Rapid Rail turut memohon maaf kepada semua penumpang atas kesulitan dan kelewatan perjalanan yang berlaku akibat kejadian tersebut. – The Malaysian Update

The post Penumpang Terjatuh Di Landasan, Lrt Laluan Kelana Jaya Tergendala Sementara appeared first on The Malaysian Update.