
Dilanggar treler semasa dalam perjalanan ke Raub, seorang penumpang wanita maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala di Kilometer 12, Jalan Bentong-Raub pada malam Sabtu.
Lapor Sinar Harian, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam, di mana sebuah treler merempuh kereta dan mengakibatkan mangsa berusia 57 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pemandu bersama tiga penumpang hanya dilaporkan cedera.
Katanya, kemalangan berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Raub menggunakan Jalan Lebu.
“Ketika tiba di simpang masuk ke laluan utama, kereta tersebut membelok ke kanan menghala ke Raub sebelum dilanggar treler yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran itu, kereta terbabit dipercayai berpusing mengakibatkan pemandu dan penumpang cedera dan seorang mangsa meninggal dunia,” katanya semasa menerangkan kejadian.
Beliau turut memaklumkan Hospital Bentong merupakan tempat di mana kesemua mangsa yang cedera diberikan rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, beliau turut meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan lebih berhati-hati dan berhemah dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Supaya dapat mengelakkan berlaku kemalangan di jalan raya,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian
The post Penumpang Wanita Maut Dilanggar Treler, 4 Kecederaan Dilaporkan appeared first on Siakap Keli.

