Penumpang warga Filipina naiki penerbangan Subang-Laos tanpa bagasi kabin - CGT Asia

7 Oct 2026 • 11:19 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penumpang warga Filipina naiki penerbangan Subang-Laos tanpa bagasi kabin - CGT Asia

KUALA LUMPUR, 7 OKT: CGT Asia Limited mengesahkan hanya seorang warga Filipina berada di dalam pesawatnya ketika ia berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (WMSA), Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos, pada 1 Okt dan penumpang itu menaiki pesawat tanpa membawa sebarang bagasi kabin.

Ketua Pegawai Eksekutif CGT Asia Kapten Darren Chan Chee Seng berkata pesawat Learjet 55B yang didaftarkan sebagai N73GP berlepas dari Subang kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang (VLLB) kira-kira 1.30 petang.

Beliau berkata penumpang berkenaan merupakan satu-satunya penumpang bagi sektor WMSA-VLLB.

“Ketika berlepas dari WMSA, penumpang berkenaan menaiki pesawat tanpa membawa sebarang bagasi kabin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chan berkata kru operasi telah dimaklumkan bahawa penumpang berkenaan berhasrat mengambil bagasi yang mengandungi produk vape untuk penerbangan seterusnya dan penumpang itu akan menguruskan sendiri proses pelepasan kastam.

“Bagaimanapun, kru tidak dimaklumkan bahawa bagasi berkenaan berjumlah kira-kira 23 buah dan jumlah itu jauh lebih banyak daripada yang dijangkakan,” katanya.

Setibanya di VLLB, kira-kira 23 buah bagasi dikemukakan untuk penerbangan seterusnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila, Filipina, sebelum pesawat itu dijadualkan kembali ke Subang.

Chan berkata kru operasi tidak terlibat dalam proses pelepasan kastam, namun membangkitkan kebimbangan berkaitan operasi dan keselamatan selepas mengetahui mengenai bagasi yang dicadangkan untuk dibawa.

Ini termasuk jumlah bagasi yang luar biasa banyak, kapasiti bagasi pesawat, pertimbangan berat dan imbangan yang terpakai bagi pesawat Learjet 55B, serta kemungkinan terdapat bateri litium atau barangan lain yang mungkin tertakluk kepada keperluan Barangan Berbahaya.

“Bagasi berkenaan tidak diterima untuk dibawa dan tidak dimuatkan ke dalam pesawat N73GP di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang,” katanya.

Chan berkata pihak berkuasa Laos kemudiannya memeriksa dan/atau mengambil alih kawalan ke atas bagasi itu serta memaklumkan bahawa ia disyaki mengandungi sejumlah besar dadah atau bahan terkawal.

Beliau berkata sebelum menerima maklumat daripada pihak berkuasa Laos, CGT Asia mahupun kru yang mengendalikan penerbangan tidak mengetahui bahawa bagasi berkenaan didakwa mengandungi dadah atau bahan terkawal, sambil menambah bahawa kru terbabit telah menolak untuk membawa bagasi itu sebelum mereka menyedari tentang dakwaan kandungan di dalamnya.

Susulan tindakan pihak berkuasa Laos, penumpang dan anggota kru yang mengendalikan penerbangan itu ditahan dan/atau dikehendaki untuk terus berada di bawah pengawasan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

CGT Asia memaklumkan ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa serta mengemukakan sebarang dokumentasi atau penjelasan yang diperlukan.

Pada 1 Okt lepas, polis Laos merampas 521 kg crystal methamphetamine daripada sebuah pesawat Learjet persendirian yang berlepas dari Subang.

Susulan rampasan itu, 13 individu termasuk seorang rakyat Malaysia, Singapura dan Filipina telah ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah rentas sempadan tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved