
Oleh Ufairah Tarmidzi
KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Penunggang basikal mempunyai hak sebagai pengguna jalan raya dan boleh membuat laporan polis jika berdepan ancaman atau gangguan.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Khairul Azhar Ismail bagaimanapun berkata penunggang basikal perlu mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Setiap penunggang basikal perlu mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan dan mereka sebenarnya berhak untuk membuat laporan polis jika berdepan dengan ancaman atau gangguan.
“Selain itu, tahap kefahaman tentang keselamatan jalan raya di Malaysia juga perlu dipertingkatkan terutama sekali kepada mereka yang dalam kalangan penunggang basikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam sesi dialog awam bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Persatuan Kelab Berbasikal Malaysia (PKBM) dan badan gabungan di IWK Eco Park, Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerjasama antara persatuan dan komuniti berbasikal amat penting dalam usaha mendidik dan memupuk kesedaran pengguna jalan raya sekali gus mampu mewujudkan persekitaran jalan yang lebih harmoni dan selamat.
Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Alifarihan Abdullah berkata usaha mendidik pengguna jalan raya mengenai keselamatan penunggang basikal perlu dimulakan lebih awal dan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Penunggang basikal bukan sahaja terdedah kepada risiko kemalangan malah mereka juga sering berdepan isu keselamatan akibat kurangnya kefahaman pengguna lain terhadap kehadiran mereka di atas jalan raya.
“Justeru, modul keselamatan di sekolah dan institut latihan memandu penting bagi melahirkan pengguna jalan raya yang lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap penunggang basikal,” tambahnya.

Menurut Mohd Alifarihan, JPJ dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang merancang penguatkuasaan teknologi tinggi termasuk sistem pemantauan pintar bagi mengesan pelanggaran undang-undang melibatkan penunggang basikal.
Dalam pada itu, beliau juga berharap agar agensi kerajaan, komuniti berbasikal serta masyarakat awam dapat berganding bahu mewujudkan suasana jalan raya yang lebih inklusif dan berhemah.
The post Penunggang basikal ada hak sebagai pengguna jalan, lapor polis jika diganggu appeared first on Selangorkini.


