Penunggang motosikal maut digilis lori

14 Nov 2026 • 11:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang motosikal maut digilis lori
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, Jalan Pelabuhan Barat, Klang dalam kemalangan pada Jumaat.

KLANG – Seorang lelaki maut digilis sebuah lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat menghala ke Shah Alam, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 50 tahun dipercayai hilang kawalan selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori ketika cuba memotong kenderaan berat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.36 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berada di tengah jalan cuba memotong sebuah lori di lorong kanan sebelum motosikal ditunggangnya bergesel dengan kenderaan berat itu.

"Akibat pergeseran itu, mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh di laluan kiri jalan sebelum digilis sebuah lagi lori yang berada di lorong berkenaan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Klang Selatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Mustakin Najri di talian 012-5826983," katanya.

Tambahnya, pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved