BALING - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang gagal mengelak sebuah kereta Perodua Aruz yang memasuki simpang di Jalan Gerik-Baling-Kulim berhampiran Kampung Landak Bukit di sini pada Ahad.
Mangsa, Muhammad Anas Iskandar Abdul Halim, 22, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Sik menghala ke Gerik, Perak.
Menurutnya, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada orang awam pada jam 8.09 pagi.
"Hasil siasatan mendapati motosikal ditunggang mangsa dari arah Sik menghala ke Gerik, Perak disyaki gagal mengelak kereta yang sedang masuk ke simpang jalan dipandu oleh perempuan warga tempatan berusia 29 tahun.
"Bagaimanapun, kejadian masih dalam siasatan pihak polis," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau membahayakan.






