
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Ativa dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang monorel di Jalan Hang Tuah, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di jalan berkenaan dari arah Pudu menghala ke Jalan Dewan Bahasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 4.49 pagi.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas dan melanggar tiang monorel di lokasi kejadian.
“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu Ativa maut rempuh tiang monorel appeared first on Kosmo Online.





