Penunggang motosikal maut nahas empat kenderaan

12 Jan 2026 • 9:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lokasi nahas berkenaan. - Foto IPD Kulai
image is not available
Keadaan motosikal mangsa. - Foto IPD Kulai

KULAI - Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan empat kenderaan di di kilometer (km) 43 Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam arah Ayer Hitam pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan berkenaan pada jam 9.30 malam.

"Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun telah hilang kawalan kerana tergesel ketika hendak memotong kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

"Akibatnya, motosikal terbabit telah melanggar bahagian belakang kereta jenis Perodua Myvi sebelum terjatuh di laluan bertentangan dan dilanggar pikap jenis Toyota Hilux yang tidak sempat mengelak mangsa.

**media[3399642]**

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik kerana mengalami kecederaan parah di kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Seng Lee, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim bagi tujuan bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan," katanya.