
BATU PAHAT – [DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 84.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Ayer Hitam di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 10.33 malam melibatkan sebuah motosikal dan kereta yang dinaiki pasangan suami isteri warga asing.
“Siasatan mendapati mangsa, seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun dalam perjalanan dari arah utara menuju selatan sebelum dipercayai terbabas ke lorong kecemasan akibat masalah kerosakan enjin.
“Bagaimanapun, sebuah kereta yang dipandu seorang wanita warga Singapura berusia 49 tahun bersama suaminya, seorang warga China berusia 24 tahun datang dari arah sama dilanggar motosikal mangsa secara tiba-tiba.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala kedua-dua pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.


