Penunggang motosikal maut tercampak atas kereta

5 Jun 2026 • 11:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang motosikal maut tercampak atas kereta
Keadaan motosikal mangsa selepas dirempuh dua kereta dalam nahas di Jalan Kuantan-Kemaman pada Khamis. Foto: Polis Kuantan

KUANTAN- Seorang penunggang motosikal maut tercampak ke atas bumbung sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Kuantan - Kemaman, berhampiran Masjid Tengku Panglima Perang, Sungai Karang, di sini pada Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7 petang itu, mangsa, Rosdi Shamsuddin, 42, beralamat dari Kampung Darat Sekolah Beserah, di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha 135 LC, kereta jenis Proton Savvy dan Perodua Bezza.

Menurutnya, dalam kemalangan itu dua pemandu kereta berusia 21 dan 22 tahun termasuk seorang wanita tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Proton Savvy dipandu mekanik dipercayai dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke Balok.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta gagal mengelak motosikal ditunggang peniaga itu yang dipercayai keluar dari simpang sebelah kiri sebelum memasuki laluannya lalu berlaku perlanggaran," katanya.

Ashari berkata, akibat perlanggaran tersebut, mangsa bersama motosikalnya tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta Perodua Bezza dipandu wanita dari arah Balok menghala ke bandar Kuantan.

Mangsa yang tercampak ke atas bumbung kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Sampel darah dan air kencing mangsa diambil untuk tujuan toksikologi manakala saksi yang melihat kejadian turut dikesan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.