Lelaki maut motor rempuh pikap

5 Jun 2026 • 4:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lelaki maut motor rempuh pikap

BEAUFORT: Seorang penunggang motosikal maut selepas jenteranya terbabas sebelum merempuh sebuah pikap yang diparkir di tepi Jambatan Sungai Mantabawan di Jalan Kuala Penyu-Bandau pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Supt Champin Piuh berkata siasatan awal mendapati mangsa, lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Kerukan, Kuala Penyu, sedang menunggang motosikal dari arah Kuala Penyu menuju ke Bandau sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di lokasi sekitar jam 8.30 malam.

Beliau berkata, motosikal mangsa kemudian bergesel dengan penghadang konkrit di sebelah kiri jalan sebelum terseret ke hadapan.

“Motosikal mangsa terus bergerak dan merempuh bahagian belakang sebelah kanan sebuah pikap yang ketika itu diparkir di sebelah kiri jambatan.

“Pemilik pikap terbabit tidak berada di dalam kenderaan kerana sedang memancing di kawasan berhampiran dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan tulang rusuk sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Penyu dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, kira-kira 11.50 malam, pihak hospital memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami,” katanya.

Champin menasihatkan orang ramai, khususnya pemancing, supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan atau di tepi jambatan seperti Jambatan Sungai Sitompok dan Jambatan Sungai Mantabawan bagi mengelakkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya, terutama pada waktu malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.