Penunggang, pembonceng motosikal maut rempuh kereta buat pusingan U

13 Apr 2026 • 5:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang, pembonceng motosikal maut rempuh kereta buat pusingan U
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan UMS, Kota Kinabalu pada pagi Isnin.
Image from: Penunggang, pembonceng motosikal maut rempuh kereta buat pusingan U
Motosikal mangsa remuk akibat kemalangan di Jalan UMS berhadapan MIni Putrajaya, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Dua individu maut selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan UMS berhadapan Mini Putrajaya di sini, awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga dan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa.

"Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu bergerak dari arah Sepanggar menuju ke Alam Mesra dan telah membuat pusingan U di lampu isyarat Mini Putrajaya sebelum meneruskan perjalanan di lorong tengah.

"Bagaimanapun, tiba-tiba sebuah motosikal yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta berkenaan dan menyebabkan penunggang terjatuh di lorong tengah jalan manakala pembonceng tercampak ke bahu kiri jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

**media[3490428]**

Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

"Identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan usaha mengesan waris sedang giat dijalankan.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik HQEI untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam kejadian itu, Syed Lot berkata, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan. 

"Kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut," katanya.