Penunggang Y15 maut, motosikal terbabas masuk parit

25 May 2026 • 11:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang Y15 maut, motosikal terbabas masuk parit
Seorang lelaki maut selepas motosikal Yamaha Y15 ditungganginya terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter di Jalan Tawang, Kampung Tawang, Bachok pada Isnin. Foto JBPM
Image from: Penunggang Y15 maut, motosikal terbabas masuk parit
Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto JBPM

BACHOK – Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha Y15 ditungganginya dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter di Jalan Tawang, Kampung Tawang di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa lelaki berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Pegawai Bomba Kanan I Tuan Mohd Sukri Tuan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.08 malam sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, pasukan bomba tiba kira-kira 11 minit kemudian dan mendapati sebuah motosikal Yamaha Y15 terbabas ke dalam parit berkedalaman dua meter tanpa melibatkan kenderaan lain.

"Insiden melibatkan dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita.

"Wanita berusia 29 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke hospital menaiki ambulans untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

**media[3532841]**

Beliau berkata, mangsa lelaki pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi dikawal sepenuhnya pada jam 9.32 malam dan tamat kira-kira sejam kemudian.