BATU PAHAT – Seorang penuntut Madrasah Ibnu Yazid maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Kangkar Senangar–Pagoh, dekat sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, nahas berlaku kira-kira jam 8.30 pagi.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku ketika sebuah lori dari arah Parit Sulong, Batu Pahat menghala ke Pagoh, Muar.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan lori berkenaan lalu berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal, Muhammad Arif Selamat, 19, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, patah kaki kanan serta kecederaan organ dalaman.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong yang berada di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu lori berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa merupakan penuntut Madrasah Ibnu Yazid, Simpang Lima, Parit Sulong dan beralamat di Felda Batu 27 Lenga, Muar,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.






