Pemandu maut lori terjunam dalam gaung

15 May 2026 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu maut lori terjunam dalam gaung
Lori dengan muatan batu terjunam dalam gaung di Jalan Kampung Taliduson, Pitas.

KOTA MARUDU - Seorang pemandu maut selepas lori dengan muatan batu yang dipandunya terbabas sendiri dan terjunam masuk gaung dalam kejadian di Jalan Kampung Taliduson, Pitas, di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, Sudirman Shamsul, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang mengatakan berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori.

"Siasatan awal, lori tersebut sedang bergerak dari arah tapak kuari menuju ke kawasan memproses batu milik dan sebaik tiba di lokasi ketika melalui jalan menuruni bukit, tiba-tiba kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas lalu masuk ke dalam gaung.

"Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 9.57 malam oleh pasukan perubatan Hospital Pitas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, mayat telah dibawa oleh pihak polis ke Unit Forensik Hospital Pitas untuk tujuan bedah siasat.

"Siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.