Penuntut UPSI Ditemui Lemas Dibawa Arus Selepas Cuba Selamatkan Rakan

LocalEnvironment
12 Jan 2026 • 9:29 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (11 Januari), seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Air Terjun Sungai Kedondong, Batang Kali, Hulu Selangor.

Kejadian itu berlaku apabila mangsa dilaporkan mencuba untuk menyelamatkan rakannya.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

Mangsa Ditemui Tidak Sedarkan Diri Lepas Dibawa Arus

Jelas Ahmad Mukhlis, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an itu mengunjungi lokasi kejadian bersama lima rakannya yang lain.

“Saksi kejadian memaklumkan mangsa cuba menyelamatkan rakannya sebelum dibawa arus deras dan anggota berjaya menemukan mangsa 10 meter dari tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia oleh pihak (pegawai perubatan) Kementerian Kesihatan,” katanya.

Mengulas lanjut, rakan mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian itu manakala mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

image is not available
Foto: Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu

Aktiviti Rekreasi Hutan Simpanan Kekal Negeri Selangor Ditutup Sementara Waktu

Dalam satu hantaran Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu di laman Facebook, notis pemakluman penutupan sementara waktu kawasan rekreasi Sungai Kedondong, Hutan Simpanan Kekal Negeri Selangor dan Taman Eko Rimba bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan telah pun dipaparkan.

Malah pengunjung juga diingatkan untuk tidak memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran. Menurut satu lagi notis pemakluman, penutupan itu bermula dari 17 November 2025 hingga 31 Januari 2026.

“Penutupan ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan kepada pengunjung berikutan musim tengkujuh.”

Memasuki Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran adalah satu kesalahan. Jika disabit kesalahan, anda boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjara tidak melebihi tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Pihak bomba menerusi kenyataan sama turut mengingatkan orang ramai untuk mematuhi peraturan sedia ada bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.