Penurunan kadar faedah, pembangunan berorientasikan transit diyakini rangsang pemulihan sektor hartanah - UOBKH

16 Jul 2025 • 11:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penurunan kadar faedah, pembangunan berorientasikan transit diyakini rangsang pemulihan sektor hartanah - UOBKH

image is not available

16/07/2025 - 11:41

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Julai - Penurunan kadar faedah, peningkatan pasaran perumahan yang stabil serta minat pelabur terhadap Iskandar Malaysia 2.0 dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) diyakini menjadi pemangkin kepada pemulihanpasaran hartanah Malaysia pada separuh kedua 2025 (2H25).

UOB Kay Hian berkata, tiga pemacu utama yang menyokong prospek sektor itu termasuk peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam aset perindustrian dan permintaan baharu bagi perumahan berhampiran Laluan Sistem Transit Rapid (RTS).

Permintaan perumahan yang kukuh, disokong oleh penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan dorongan struktur seperti kenaikan gaji minimum; serta pemulihan secara beransur-ansur dalam selera pelaburan terhadap TOD, dibantu oleh kemampuan yang bertambah baik dan program Malaysia My Second Home (MM2H) yang dikemas kini.

Seiring dengan persekitaran kadar faedah yang lebih akomodatif, firma penyelidikan itu mengurangkan diskaun Nilai Aset Bersih Disemak (RNAV) sektor antara 3% hingga 5%, sekaligus menaikkan harga sasaran (TP) bagi pemaju yang diliputi antara 2% hingga 10%.

Firma itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor itu dengan Sunway Bhd, Eco World Development Group Bhd, dan Mah Sing Group Bhd sebagai pilihan utama.

UOB Kay Hian berkata, pemotongan OPR sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini dijangka dapat mengurangkan kos pinjaman bagi pemaju dan merangsang permintaan hartanah, terutamanya dalam kalangan pembeli rumah pertama dan mereka yang ingin menaik taraf.

Ia menganggarkan kadar faedah yang lebih rendah boleh meningkatkan pendapatan tahun 2026 melebihi 2% bagi SP Setia, kira-kira 1% bagi Sunway dan sekitar 0.5% bagi Eco World.

Bagi pembeli rumah, pengurangan kadar gadai janji itu boleh mengurangkan bayaran bulanan sebanyak kira-kira 3.4% bagi pinjaman biasa sebanyak RM500,000 dalam tempoh 35 tahun.

Firma penyelidikan itu menjangkakan Iskandar Malaysia akan mendapat pelbagai manfaat termasuk daripada pelan akhir sistem e-ART, pelancaran perkhidmatan tren elektrik Gemas–Johor Bahru (ETS) pada Ogos ini dan pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal diumumkan menjelang akhir tahun.

"Kami menjangkakan tumpuan akan kembali kepada Iskandar 2.0 selepas penyesuaian semula pasaran.

"Kami berhati-hati tetapi optimis terhadap permintaan tanah untuk pusat data berikutan penstrukturan semula sumber oleh pemain awan global yang telah menyebabkan beberapa urus niaga tanah pusat data tergendala pada separuh pertama 2025 (1H25)," katanya dalam satu nota kajian.

Pemaju kini giat melancarkan projek berdekatan stesen RTS di Bukit Chagar bagi menarik permintaan daripada komuniti yang berulang-alik rentas sempadan.

Sunway akan melancarkan unit SOHO di Sunway Majestic pada harga RM800 sekaki persegi pada Julai, manakala Mah Sing merancang melancarkan apartmen servis premium, M Grand Minori, pada Ogos ini.

Projek lain yang dalam perancangan termasuk Eco Botanic 3 oleh Eco World (suku pertama 2026) dan Estuari Greens serta Estuari ParkHomes oleh UEM Sunrise (suku keempat 2025).

UOB Kay Hian menjangkakan peningkatan pelancaran projek pada 2H25 akan dapat diserap dengan baik oleh permintaan yang kukuh, disokong kemajuan infrastruktur ketara serta keterhubungan rentas sempadan yang kukuh di bawah kerangka JS-SEZ.

Perumahan mampu milik dijangka kekal berdaya tahan, disokong peningkatan jumlah pembeli rumah pertama dan kenaikan gaji minimum.

Pemaju seperti Mah Sing (52% daripada projek di bawah RM500,000; 37% dalam julat RM500,000–700,000), Matrix Concepts (60% di bawah RM600,000), Lagenda Properties (majoriti berharga antara RM200,000 hingga RM300,000), dan siri "duduk" Eco World berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan ini.- DagangNews.com

standard