Penurunan OPR Bersifat Berhemah Dan Proaktif – Anwar

LocalBusiness & Finance
9 Jul 2025 • 9:53 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Penurunan OPR Bersifat Berhemah Dan Proaktif – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Beliau menyifatkan langkah tersebut satu yang berhemah dan proaktif di tengah ketidaktentuan ekonomi global, selaras dengan unjuran ekonomi dan inflasi semasa yang telah dikaji dengan teliti.

“Walaupun sektor eksport berdepan cabaran, Kerajaan telah melaksana pelbagai inisiatif sokongan termasuk Skim Jaminan Pembiayaan untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan penerokaan pasaran baharu,” ujar beliau dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya lagi, reformasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI terus memperkukuh daya tahan negara apabila kadar inflasi sehingga Mei 2025 berjaya turun kepada 1.2 peratus, iaitu kadar terendah dalam tempoh 51 bulan.

Anwar turut memaklumkan kadar penyertaan tenaga buruh negar turut mencatatkan peningkatan memberangsangkan dengan rekod mencecah 70.8 peratus.

“Kita mesti terus mara dalam reformasi merencana masa hadapan negara kerana di sebalik cabaran, ada ruang untuk maju disandarkan tatakelola lebih baik, inovasi berani dan semangat juang yang utuh,” katanya lagi.

Terdahulu, penurunan OPR kepada 2.75 peratus diumumkan berikutan penunjuk terkini yang menandakan pertumbuhan global yang berterusan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan.

“Prospek pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal,” kata BNM menerusi satu kenyataan berasingan.

Menurut Bernama, BNM memaklumkan prospek tersebut dipengaruhi oleh ketidakpastian perkembangan tarif serta ketegangan geopolitik. Keadaan ini menyumbang kepada ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi.

“Bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan berterusan dalam kegiatan ekonomi pada suku kedua, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan serta pertumbuhan eksport.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan,” ujarnya.