
KENINGAU: Pengguna jalan dinasihatkan supaya mematuhi nasihat pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkaitan penutupan laluan di kilometer 14.3 dan 12 Jalan Keningau-Kimanis yang masih berkuat kuasa.
Pegawai Daerah Keningau Peter Jonu Moinjil berkata, selain syarikat konsesi dan Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak polis juga memberi nasihat kepada pengguna laluan untuk tidak menggunakan laluan tersebut, yang sedang dalam penyelenggaraan.
“Runtuhan masih aktif dan kerja-kerja penyelenggaraan sedang berjalan,” katanya mengulas video tular berdurasi 42 saat yang memuatkan kata-kata, “Bukit Kimanis 08/03/2025, ‘Sama-samalah berkeras’ Penghadang konkrit dibuka pengguna jalan raya walaupun jalan Kimanis-Keningau terpaksa ditutup atas faktor keselamatan”.
Peter berkata, walaupun jalan itu ditutup pada masa video tular itu tetapi ada segelintir pengguna jalan raya yang tidak mengendahkannya.
“Jadi nasihat saya ialah, dengarlah nasihat daripada pihak berkuasa demi kebaikan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Jurutera Bahagian JKR Keningau Nelliah Sittor berkata, tujuan utama JKR menutup jalan tersebut adalah untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
“Dikhuatiri runtuhan cerun yang masih aktif, yang melibatkan runtuhan tanah berserta batu, terutamanya ketika hujan lebat berterusan berisiko menyebabkan kemalangan yang tidak diingini kepada orang awam yang melalui jalan tersebut,” katanya.
Pada Isnin, Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata kerja-kerja membaik pulih jalan terjejas akibat tanah runtuh di Jalan Keningau-Kimanis dijangka selesai dalam masa dua minggu.
Katanya, kerja-kerja tersebut turut bergantung kepada faktor cuaca dan kestabilan tanah.
Beliau berkata, jalan berkenaan masih ditutup kepada semua kenderaan akibat daripada kejadian tanah runtuh bagi memberi laluan kepada JKR bersama syarikat konsesi menjalankan kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaraan.
Shahelmey turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengalihkan penghadang jalan yang telah dipasang di kawasan kritikal memandangkan terdapat laporan mengenai tindakan segelintir pengguna jalan raya yang cuba mengalihkan sekatan di Kilometer 14.3 Jalan Keningau-Kimanis.
