PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penyedia perkhidmatan akaun sebuah syarikat perkhidmatan perundingan pengurusan perniagaan di ibu negara kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan berjumlah kira-kira RM4 juta.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah direman selama empat hari sehingga 4 April selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pada Rabu.
Menurut sumber, suspek lelaki itu ditahan kira-kira jam 8 malam pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2025.
“Suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan seperti perjalanan dan pengangkutan, yuran perakaunan, pembelian genset dan diesel, pembayaran kad kredit, tuntutan keraian, perbelanjaan ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE), tuntutan tunai runcit (petty cash), tuntutan belanja yang tidak dikenal pasti, tuntutan pembayaran kerja-kerja landskap serta pembayaran gaji,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
