SHAH ALAM - Lima akaun syarikat dan perbankan lima individu dianggarkan bernilai kira-kira RM4 juga dibeku Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan isu penyelewengan tanah milik bekas pekerja-pekerja sebuah ladang di Selangor.
Menurut sumber, siasatan yang dijalankan SPRM Selangor bermula sejak 9 Mac lalu turut membekukan dua akaun unit amanah bernilai RM2.6 juta dan beberapa akaun simpanan syarikat serta individu berjumlah kira-kira RM1.4 juta.
“Pada masa sama, siasatan SPRM kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan penipuan,” katanya pada Jumaat.
Tambah sumber, setakat ini seramai 24 orang saksi telah diambil keterangan.
"SPRM juga masih mengesan saksi-saksi yang terlibat di dalam kes terbabit bagi tujuan rakaman percakapan," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sebelum itu, seorang lelaki yang juga pengarah syarikat berusia lingkungan 60-an ditahan kira-kira jam 12.20 tengah hari, Rabu lalu, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Berikutan itu, suspek telah direman lima hari sehingga 16 Mac kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah sebagai balasan menyerahkan tanah milik bekas pekerja-pekerja sebuah ladang di negeri ini bagi tujuan pembangunan komersial.
Media melaporkan, pengarah terbabit dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2025 apabila menyerahkan tanah milik 136 bekas pekerja sebuah ladang di Hulu Selangor tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka kepada sebuah syarikat pemaju.
Suspek yang juga merupakan pemegang amanah ke atas tanah seluas kira-kira lapan ekar itu disyaki menerima wang rasuah berjumlah sekitar RM50,000 hingga RM100,000 beberapa kali dalam tempoh lima tahun.
Ia sebagai balasan membantu menyerahkan tanah berkenaan bagi tujuan pembangunan komersial bernilai kira-kira RM4 juta.
