
Penyelam Hilang Dua Hari Di Laut Ditemui Hidup Di ‘Benua’ Lain
Seorang penyelam berusia 23 tahun yang dilaporkan hilang di perairan Maghribi ditemui hidup dua hari kemudian selepas hanyut hampir 100 batu nautika sehingga ke Sepanyol.
Menurut The Sun UK, mangsa dilaporkan menyelam bersama rakan-rakannya di perairan Fnideq, di utara Maghribi, apabila dia tiba-tiba hilang dibawa arus laut pada Rabu lalu.
Seorang kru kapal dagang yang dalam perjalanan ke Portugal ternampak penyelam itu pada jarak kira-kira 24 batu nautika dari Caleta de Vélez, di Costa del Sol, Sepanyol, pada Jumaat.
Pihak berkuasa Sepanyol segera dimaklumkan, sebelum sebuah helikopter dihantar untuk melakukan operasi menyelamat. Rakaman dari udara menunjukkan detik cemas sebelum mangsa dipindahkan dari kapal dagang berkenaan.
@thesun Shocking moment diver who vanished beneath waves on swim with pals is hauled from water alive two days later… on another continent. Click on the link for more. #diving #news #newsstory
Mangsa kemudian diterbangkan ke bandar Motril di Costa Tropical, yang mempunyai helipad kecemasan, sebelum dikejarkan terus ke hospital.
Mangsa dilaporkan stabil, masih dalam pemerhatian
Walaupun mengalami hipotermia dan dehidrasi, keadaan mangsa dilaporkan stabil.
Polis memaklumkan, mangsa yang masih memakai sut menyelam ketika ditemui, memberitahu dia dihanyutkan arus deras ke tengah laut dan terpisah daripada kumpulannya.
Sejak hilang pada Rabu petang, mangsa dipercayai telah hanyut sejauh 96 batu merentasi Laut Mediterranean.
Dia kini masih dalam pemerhatian doktor dan dijangka akan dihantar pulang ke Maghribi selepas pulih, lapor The Sun UK.
Sumber: The Sun UK
The post Penyelam Hilang Dua Hari Di Laut Ditemui Hidup Di ‘Benua’ Lain appeared first on Siakap Keli.




