PENINGKATAN harga minyak global akibat ketegangan konflik di Asia Barat menyaksikan pengumuman kerajaan berhubung langkah penyelarasan Budi Madani RON95 (BUDI95), daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung pada Khamis.
Menteri Kewangan itu berkata, langkah tersebut bersifat sementara, sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, namun keadaan itu belum menunjukkan tanda ke arah tersebut.
Beliau menegaskan bahawa pengekalan harga RON95 pada RM1.99 seliter merupakan komitmen penting kerajaan untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Usaha berkenaan dilihat sebagai pendekatan bersasar dalam memastikan bantuan bahan api terus dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan, tanpa menjejaskan kestabilan fiskal negara.
Penyelarasan kuota kepada 200 liter sebulan sebenarnya memberi fokus kepada penggunaan asas majoriti rakyat, terutamanya golongan B40 dan sebahagian M40 yang menggunakan kenderaan untuk keperluan harian seperti ulang-alik kerja, menghantar anak ke sekolah serta urusan keluarga.
Dengan mengekalkan harga subsidi, kerajaan masih menanggung sebahagian besar beban kos bahan api, sekali gus mengelakkan kesan rantaian seperti kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Konflik yang berlaku ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia, malah turut mempengaruhi negara lain termasuk Singapura.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam catatan Facebook pada Khamis berkata, Singapura dan Malaysia turut mengesahkan komitmen untuk mengeratkan penyelarasan ketika ketegangan di Asia Barat kian memuncak.
Ujarnya, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan yang membina menerusi panggilan telefon mengenai perkembangan terkini di Asia Barat pada Rabu.
Kata beliau, perbincangan bersama Anwar itu meliputi risiko peningkatan, kesannya terhadap bekalan minyak global, dan keperluan untuk melindungi penghidupan dan kestabilan serantau.
Sementara itu, Agensi Berita Filipina melaporkan Presiden Filipina,Ferdinand Marcos Jr. menandatangani undang-undang Akta Republik 12316 pada Rabu, yang memberikan kuasa darurat kepada pihak eksekutif untuk menggantung atau mengurangkan cukai eksais ke atas produk petroleum secara sementara susulan kenaikan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat.
Ini menunjukkan bahawa krisis harga minyak global bukan lagi isu terpencil, sebaliknya telah mendorong pelbagai negara di rantau ini mengambil langkah intervensi masing-masing bagi melindungi ekonomi domestik dan kesejahteraan rakyat.
Dalam mendepani situasi mencabar ini, rakyat juga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada campur tangan kerajaan semata-mata. Sebaliknya, peranan individu dalam mengurus kewangan menjadi semakin penting.
Perancangan perbelanjaan yang teliti, amalan berjimat cermat dan keutamaan kepada keperluan asas perlu dijadikan norma baharu.
