Penyelarasan BUDI95: Wan Ahmad Fayhsal gesa kerajaan perinci angka sebenar subsidi

LocalPolitics
28 Mar 2026 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya memperincikan jumlah sebenar subsidi yang ditanggung dan anggaran penjimatan selepas had kelayakan penggunaan BUDI95 diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perincian itu penting bagi menjawab pelbagai isu berbangkit susulan pengumuman terbaharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Perutusan Perdana Menteri berkenaan penyasaran subsidi petrol sangat membimbangkan. Rata-rata reaksi rakyat tidak begitu gembira. Malah, ramai yang menuntut ‘kebijaksanaan’ Anwar Ibrahim ketika menjadi pembangkang yang mempunyai 1001 penyelesaian dan formula.

"Rakyat menuntut akauntabiliti dan bukti berasaskan data (evidence-based data) daripada pihak kerajaan bagi memastikan penyasaran subsidi RON95 adalah adil, tidak membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan pertengahan serta telus dari aspek angka penjimatan fiskal negara," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Anwar pada Khamis mengumumkan kerajaan akan menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 berkuat kuasa 1 April ini dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.

Beliau berkata, langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal dalam masa sama turut menggesa kerajaan supaya mendedahkan pecahan data pengguna bahan api, termasuk perbandingan antara pemilik motosikal dan kereta serta kelompok pengguna yang menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan mengikut lokasi dan jenis pekerjaan.

Tambahnya, justifikasi penetapan had 200 liter juga perlu diperincikan, termasuk kaedah yang digunakan bagi menyokong dakwaan bahawa 90 peratus rakyat tidak akan terjejas.

“Kerajaan perlu membuktikan bahawa keputusan ini dibuat berdasarkan analisis menyeluruh, bukan sekadar anggaran umum,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap impak sosial dasar berkenaan, khususnya kepada golongan yang perlu berulang-alik dalam jarak jauh serta isi rumah yang mempunyai keperluan mobiliti tinggi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme alternatif seperti pemberian kuota tambahan kepada kumpulan sasar tertentu berbanding penggunaan satu had yang sama untuk semua.

“Pendekatan lebih fleksibel perlu dipertimbangkan bagi memastikan tiada golongan tercicir,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa kerajaan menetapkan penunjuk yang jelas untuk menilai semula dasar tersebut pada masa hadapan.