SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bersifat sementara, sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, namun keadaan itu belum menunjukkan tanda ke arah tersebut.
"Maka untuk meringankan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.
"Tetapi bagi had siling e-hailing dan pekerja gig, kita kekalkan had siling sehingga 800 liter mengambil kira tanggungjawab, pekerjaan dan urusan yang mereka harus lakukan," katanya dalam perutusan khas pada Khamis.
Anwar berkata, kerajaan turut memohon kerjasama rakyat agar memahami langkah yang terpaksa diambil berkenaan.
Menurutnya, pelbagai tohmahan dan tafsiran mungkin timbul, namun kerajaan memastikan setiap keputusan dibuat secara teliti dan berhemah.
"Langkah ini terpaksa kita ambil kerana tekanan yang kita hadapi dan saya percaya ada yang akan membuat pelbagai tohaman dan tafsiran yang tak boleh kita elak.
"Tatapi percayalah, saya tidak mahu rakyat merasa tertekan dan langkah-langkah kita itu sangat teliti dan berhemah.
"Umpamanya, kita ada pelaksanaan Budi95. Semua negara, termasuk negara jiran, menaikkan harga minyak, tapi Malaysia mengambil keputusan untuk mengekalkan harga minyak BUDI95 pada kadar RM1.99," katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut meneliti tahap penggunaan BUDI95 dalam kalangan rakyat sebelum membuat penyelarasan.
"Kita dapati, purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang dari 200 liter sebulan, maka tidak terjejas," katanya.

