
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan cadangan penyelarasan pakaian seragam sekolah masih di peringkat kajian komprehensif sejak September lalu, dengan keputusan muktamad hanya akan diumumkan menjelang Ogos 2026 sebelum pelaksanaan berfasa pada Sesi Persekolahan 2027.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata kementerian memberi jaminan sebarang keputusan akan dimaklumkan lebih awal kepada ibu bapa dan pihak berkepentingan.
“Justeru, tiada perubahan pada pakaian seragam sekolah murid untuk sesi persekolahan pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penyelarasan seragam bertujuan mewujudkan kebersamaan dan semangat perpaduan dalam kalangan murid, selain mengurangkan beban kewangan keluarga.
“Ia dapat menangani isu beban kewangan persediaan persekolahan yang dihadapi ibu bapa,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Azam menegaskan seragam sekolah dengan pelbagai warna tidak membantu memupuk semangat perpaduan. Malah, ada sekolah yang mewajibkan sehingga tujuh warna seragam, ditambah dengan blazer, ves, dan pelbagai kemeja-T aktiviti – keadaan yang menyukarkan murid berpindah sekolah dan menekan kewangan keluarga.
“Oleh itu, perkara yang bersifat kosmetik dan tidak memberi impak kepada pendidikan murid perlu dielakkan, terutamanya apabila ia membabitkan kos yang tidak sepatutnya ditanggung oleh ibu bapa sehingga menjadikan persekolahan anak-anak mereka sangat mahal,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa keputusan berkaitan seragam – termasuk pemakaian tali leher yang tidak diwajibkan – akan dilaksanakan secara berfasa melalui konsensus antara pihak sekolah dan PIBG, dengan mengambil kira faktor keselesaan murid dalam cuaca panas Malaysia. - 3 Januari, 2026
The post Penyelarasan seragam sekolah dijangka mulai sesi 2027 appeared first on Scoop.


