Penyelia asrama disyaki rasuah RM78,000

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 6:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman

SEREMBAN - Seorang penyelia asrama sebuah sekolah di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM78,000 sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan asrama di tempatnya bekerja.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan kira-kira jam 4.40 petang pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pemilik syarikat kontraktor baik pulih.

“Nilai keseluruhan kerja penyelenggaraan yang dilakukan di tempat suspek bekerja dianggarkan bernilai kira-kira RM114,000,” katanya.

Tambah beliau, suspek kini direman lima hari bermula pada Rabu sehingga 8 Mac ini selepas permohonan dibuat SPRM di hadapan Majistret Mahkamah Seremban, Nurul Azuin Mohd Talhah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.