Isu perjanjian mega RM1.11 bilion: SPRM panggil 12 individu termasuk bekas menteri & KSU

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 3:35 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Isu perjanjian mega bernilai RM1.11 bilion antara kerajaan Malaysia dan sebuah syarikat asing kini menjadi perhatian apabila seorang bekas menteri dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan.

Perkara itu disahkan sendiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dalam sidang akhbar pada Rabu.

Bekas menteri antara yang dipanggil

Memetik laporan daripada Sinar Harian, bekas menteri terbabit merupakan antara 12 individu termasuk Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian yang telah dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Saya tidak mahu sebut (nama bekas menteri). Ada daripada bekas menteri yang telah dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.

image is not available

Bagi keterangan untuk bantu siasatan

Dalam pada itu, Azam turut memaklumkan bahawa pihaknya telah memperoleh beberapa dokumen penting daripada agensi serta kementerian berkaitan bagi membantu siasatan.

“Kita juga melihat kepada pembentangan Kertas Kabinet (dalam kes itu) dan saksi-saksi yang lain sedang kita panggil,” jelas beliau.

image is not available

Ketika diajukan soalan sama ada bekas menteri yang dimaksudkan ialah Rafizi Ramli, Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Terdahulu pada 12 Februari, SPRM mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah RM1.11 bilion yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri kanan.

Sumber memaklumkan wujud keraguan terhadap proses rundingan serta kelulusan yang didakwa tidak melibatkan sepenuhnya kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, selain beberapa isu lain termasuk kemungkinan konflik berkepentingan.

Ada individu dikehendaki berada di UK

Dalam perkembangan sama, Azam turut mengulas mengenai pengesanan bekas pembantu Rafizi, James Chai yang kini dikategorikan sebagai individu dikehendaki dalam siasatan kes tersebut.

“Kita telah keluarkan maklumat kepada media untuk beliau segerakan balik ke Malaysia untuk dirakam percakapan.
“Setakat ini, belum ada maklum balas daripada beliau,” katanya sambil menambah individu berkenaan dipercayai berada di United Kingdom.

Untuk rekod, Chai sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Rafizi ketika Ahli Parlimen Pandan itu memegang portfolio Menteri Ekonomi.

Sumber: Sinar Harian