
PETALING JAYA – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi tuan rumah bagi penganjuran seminar yang membincangkan tentang kemajuan dalam sains mikrobiom yang boleh membentuk pendekatan baharu terhadap kebersihan diri dan kawalan jangkitan.
Seminar sehari yang bertajuk Ke Arah Piawaian Kebersihan Baharu – Daripada Penghapusan Menyeluruh kepada Antiinfektif Pintar” yang dianjurkan di kampus universiti tersebut berjaya menghimpunkan saintis, pakar klinikal dan pemimpin industri dari Malaysia serta beberapa negara lain.
Program tersebut telah dianjurkan oleh Pusat Inovasi Agroteknologi bagi Biopemprosesan Termaju (ICA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama World Bioeconomy Association (WBA) dan SATEERA®.
Ia turut menampilkan pakar dari Malaysia, Finland, Afrika Selatan, Mesir, Amerika Syarikat dan Indonesia.
Keberkesanan kebersihan diri sering dikaitkan dengan usaha menghapuskan sebanyak mungkin mikroorganisma, seperti yang digambarkan melalui dakwaan lazim bahawa sesuatu produk mampu “membunuh 99.99%” mikro organisma.

Namun, perkembangan dalam sains mikrobiom kini memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai peranan berbeza mikroorganisma terhadap kesihatan manusia.
Mikroorganisma berbahaya boleh menyebabkan jangkitan dan penyakit, manakala mikroorganisma yang berfaedah membantu mengekalkan keseimbangan mikrob semula jadi tubuh serta menyokong sistem pertahanannya.
Pengarah Pusat Inovasi Agroteknologi bagi Bio pemprosesan Termaju (ICA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof. Dr. Hesham Ali EI Enshasy berkata, sebagai tuan rumah akademik, pihaknya menghimpunkan pandangan daripada bidang sains, perubatan dan industri bagi menggalakkan lebih banyak penyelidikan serta perbincangan berdasarkan fakta.
“Sebagai sebuah institusi akademik, UTM menyedari kepentingan menghimpunkan penyelidik, pakar klinikal dan pihak berkepentingan industri bagi pertukaran ilmu saintifik yang bermakna,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, pakar dari Malaysia dan beberapa negara lain membincangkan isu daripada pelbagai sudut, termasuk kuman yang semakin sukar dirawat, kawalan jangkitan, akses kepada penjagaan kesihatan, sains mikrobiom dan penggunaan sumber semula jadi untuk melawan jangkitan.
Ia juga membincangkan bagaimana penemuan saintifik di makmal boleh dibangunkan untuk kegunaan dalam dunia sebenar.
Dalam pada itu, seminar tersebut turut diselitkan dengan acara Deklarasi Saintifik Kuala Lumpur 2026 yang mana acara itu mencerminkan komitmen bersama saintis, pakar klinikal, pihak kerajaan dan industri untuk meneruskan penyelidikan, pengesahan bebas, kajian klinikal dan kerjasama antarabangsa mengenai pendekatan antiinfektif yang lebih mampu menyasarkan mikroorganisma tertentu.
Deklarasi itu bukan bermaksud satu piawaian perubatan atau peraturan baharu telah dimuktamadkan, sebaliknya menandakan permulaan usaha saintifik dari Malaysia untuk menggalakkan lebih ramai penyelidik, pakar perubatan, makmal, institusi dan rakan industri menyumbang bukti, teknologi serta pandangan mereka ke arah mencapai piawaian kebersihan baharu iaitu daripada penghapusan menyeluruh kepada antiinfektif pintar. -KOSMO! ONLINE
The post Penyelidik tempatan, global berkumpul bincang isu kebersihan kawalan jangkitan appeared first on Kosmo Online.


