Penyelidik UPM rangkul Anugerah Inovator Baharu MCY 2023 bawa pulang hadiah RM130,000
zulfadli
18/08/2023 - 14:50
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkul Anugerah Inovator Baharu menerusi Teknologi Harvast yang dihasilkan sempena penganjuran Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023, baru-baru ini.
Penyelidikan yang diketuai oleh Prof Dr Suraya Abdul Rashid dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar Fakulti Kejuruteraan (FK) UPM itu sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM130,000.
Suraya yang juga Timbalan Pengarah Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) UPM berkata, inovasi produk itu terhasil apabila melihat penduduk pangsapuri, kondominium atau mempunyai ruang laman yang terhad melaksanakan aktiviti bercucuk tanam.
Katanya, HarvastTM merupakan produk untuk menghasilkan penggalak fotosintesis pada tumbuhan dan secara tidak langsung memberi kesan positif terhadap tumbuhan dalam meningkatkan kadar pembesaran serta menyingkatkan tempoh tuaian.
"Produk ini menggunakan teknologi nano Carbon Quantum Dots (CQD) yang apabila di sembur pada bahagian daun akan membantu pokok untuk menyerap tenaga cahaya dan menukarkannya kepada tenaga fotosintesis.
"Produk penggalak fotosintesis ini merupakan yang pertama di pasaran dan telah dikomersialkan oleh syarikat pemula UPM di bawah program Innohub iaitu Qarbotech Sdn. Bhd," katanya.

HarvastTM dibangunkan bermula pada 2015 dengan menyasarkan jualan kepada pekebun rumah, peminat tumbuhan serta pemain industri pertanian serta holtikultur. - DagangNews.com



