Penyeludup campak ganja ke laut elak ditahan

10 Feb 2023 • 11:41 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Satu bungkusan guni mengandungi ketulan ganja mampat dibuang ke dalam laut di kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli.

image is not available
Maritim Malaysia Kedah dan Perlis mematahkan cubaan menyeludup ganja bernilai RM45,000 di kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli pada Khamis.

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis mematahkan cuba menyeludup ganja mampat bernilai RM45,000 di kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli sekitar jam 10.25 malam, pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, sebanyak sembilan kilogram (kg) ketulan ganja mampat yang dirampas itu dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.

Menurutnya, rampasan itu dibuat berikutan pengesanan curiga oleh Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi yang mengesan pergerakan sebuah bot fiber masuk ke perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap.

"Bot peronda yang sedang melakukan Op Aman kemudiannya digerakkan ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot fiber itu.

"Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia di lokasi, suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut dan menukar haluan untuk berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

**media[2087643]**

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan guni yang dibuang itu mengandungi sembilan ketulan ganja mampat yang diletakkan dalam plastik berwarna emas.

Tambah Romli, semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Romli berkata, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan.

Orang ramai boleh menghubungi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera bagi sebarang aduan dan maklumat serta insiden kecemasan di laut.